Remaja terjatuh sungai, ditemui lemas
Siti Nur Aqilla Omar
Oktober 30, 2021 23:17 MYT
Oktober 30, 2021 23:17 MYT
PONTIAN: Seorang remaja yang terjatuh ke dalam sungai di belakang Pasar Awam, Pekan Benut, di sini, tengah hari tadi, ditemui lemas oleh pasukan bomba.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Azhar Abdul Jail berkata mangsa ditemui pada jam 4.10 petang tadi 50 meter dari lokasi terakhir mangsa terjatuh.
Katanya mangsa dikenali sebagai Mohd Akmal Jamaludin, 17 tahun
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat seorang mangsa telah terjatuh ke dalam sungai semasa menaiki bot bersama bapanya.
"Bot yang dinaiki telah melanggar tunggul kayu di dalam sungai ketika ingin naik ke daratan kerana ingin mendapatkan rawatan atas faktor kesihatan, namun mangsa telah terjatuh dari bot dan lemas.
"Operasi pencarian mangsa dilakukan dengan radius pencarian 50 meter dari lokasi terakhir mangsa.
"Mangsa dibawa naik ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.