Remaja terjatuh semasa memancing ditemui lemas

Bernama
Januari 1, 2023 20:26 MYT
Muhammad Firdaus Yuseri, 16, ditemukan pada 3.55 petang pada kedalaman kira-kira tiga meter. - Gambar/ JBPM
KUANTAN: Seorang remaja lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai semasa memancing di Jambatan Kemasul 1, Felda Kemasul di Bentong dekat sini ditemukan lemas hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa, Muhammad Firdaus Yuseri, 16, ditemukan pada 3.55 petang pada kedalaman kira-kira tiga meter.
Mayatnya ditemukan kira-kira 10 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Muhammad Firdaus dikatakan keluar memancing petang semalam sebelum ahli keluarga yang mencarinya menjumpai motosikal dan peralatan memancing milik mangsa di jambatan itu.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
#pemancing lemas #Bentong #remaja lemas #pemancing hilang
;