Remaja 'sumbat' 25 PATI dalam Vellfire ditahan

Umavathi Ramayah
Ogos 3, 2022 20:01 MYT
Siasatan mendapati kesemua PATI yang berusia antara 15 dan 39 tahun itu diseludup masuk ke Malaysia untuk mendapat pekerjaan dengan bayaran RM6,000 setiap seorang. - Gambar IPD Sentul
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang remaja tempatan berusia 17 tahun disyaki menjadi tekong darat bersama 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching di ibu negara, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan mendapati kesemua PATI yang berusia antara 15 dan 39 tahun itu diseludup masuk ke Malaysia untuk mendapat pekerjaan dengan bayaran RM6,000 setiap seorang.
Beliau memberitahu, kegiatan itu dikesan selepas anggota yang melakukan rondaan di Jalan Selinsing, di sini terserempak dengan suspek yang memandu sebuah Toyota Vellfire dalam keadaan mencurigakan.
"Apabila polis menghampiri kenderaan tersebut, pemandu bertindak agresif dan memecut laju menyebabkan polis terpaksa mengejar.
"Kenderaan itu juga melanggar sebuah motosikal yang ditunggang salah seorang anggota polis sehingga menyebabkan terbabas serta melanggar tiga buah kenderaan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut Eng Lai memberitahu, hasil pemeriksaan, polis mendapati terdapat 25 PATI termasuk enam wanita yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
Menurutnya, remaja tersebut dan seorang lagi suspek warga tempatan, duduk di tempat penumpang hadapan yang berjaya melarikan diri itu bertolak dari Rantau Panjang, Kelantan ke ibu negara kira-kira pukul 3 pagi untuk menghantar warga asing itu untuk mendapatkan pekerjaaan.
Beliau turut memberitahu, hasil semakan mendapati Toyota Vellfire itu bernombor pendaftaran palsu.
"Pemandu yang ditahan itu tidak mengetahui mengenai asal usul kenderaan memandangkan menurutnya kesemua diuruskan oleh suspek yang melarikan diri," jelasnya.
Kesemua suspek katanya ditahan reman bermula Rabu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migram (ATIPSON) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
#tekong darat #Polis Diraja Malaysia #pendatang tanpa izin #pemerdagangan manusia
;