Remaja sesak nafas dalam kejadian kebakaran libatkan 3 rumah

Aida Aziz
Julai 21, 2022 21:23 MYT
Seorang remaja perempuan terpaksa dikejarkan ke hospital akibat mengalami sesak nafas selepas rumahnya di Jalan Taman Shantin, Pasir Puteh terbakar petang tadi. - Foto JBPM Perak
IPOH: Seorang remaja perempuan terpaksa dikejarkan ke hospital akibat mengalami sesak nafas selepas rumahnya di Jalan Taman Shantin, Pasir Puteh di sini terbakar petang tadi.
Kejadian pada jam 4 petang itu membabitkan tiga buah rumah, masing-masing musnah terbakar sebanyak 80 peratus, 70 peratus dan 10 peratus.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 4.04 petang.
Justeru katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dengan bantuan BBP Ipoh, BBP Pekan Baru dan Pasukan Bomba Sukarela Menglembu bergegas ke lokasi.
"Kebakaran membabitkan tiga buah rumah kelas A. Rumah No 40 musnah terbakar 80 peratus, rumah No 42 pula 70 peratus dan rumah No 38 sebanyak 10 peratus.
"Seorang remaja perempuan dari rumah ketiga itu mengalami sesak nafas akibat kebakaran itu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujarnya lagi, mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal oleh pihak bomba dan dibawa ke Hospital Ipoh bagi tindakan selanjutnya.
Menurut kenyataan itu, anggota bomba membuat pemadaman api dengan menggunakan tiga aliran 200 kaki enam pancutan dengan sumber air dari tangki jentera.
Operasi yang diketuai oleh PKPgB Mohd Fadzeli Che Hussin itu tamat pada jam 6.47 petang.
#kebakaran #Taman Shantin #Pasir Puteh #JBPM Perak #Remaja perempuan
;