Remaja rentung dalam kebakaran kedai runcit
Astro Awani
Februari 3, 2015 08:47 MYT
Februari 3, 2015 08:47 MYT
Seorang remaja perempuan rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Nam Dam, Jalan Sungai Tiang, Pendang, Kedah kira-kira 7.00 malam Isnin.
Mangsa Wan Putri Nurul Aisyah Abdullah, 13 tahun ditemui rentung dalam keadaan terbaring di ruang belakang kedai runcit dipercayai akibat terperangkap.
Menurut saksi, mangsa pergi ke kedai runcit berkenaan bersama seorang rakan untuk membeli makanan ringan.
Bagaimanapun mangsa tiba-tiba panik sejurus selepas terdengar percikan api dipercayai akibat litar pintas daripada wayar elektrik.
Seorang lagi saksi, Wan Mohd Firdaus Wan Abdul Wahad berkata api yang marak membuatkan bantuan ke atas mangsa sukar dilakukan.
“Saya duduk di kedai sebelah sedang membeli makanan, ketika saya keluar saya lihat ada kebakaran dan ada seorang budak (di dalam kedai tersebut). Panas… tidak boleh buat apa… api marak,” katanya.
Sebanyak dua jentera bomba dari balai bomba dan penyelamat Jalan Raja 1, Kota Setar Dan Kuala Nerang dikejarkan ke lokasi sebelum mendapati kedai runcit berkeluasan 600 kaki persegi hangus 100 peratus.
Bagaimanapun, api berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira 10 minit kemudian, namun mangsa telah ditemui dalam keadaan rentung di dalam ruang kedai.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.