Remaja perempuan tahan sakit 20 minit, tangan tersepit 'sprocket' motosikal
Aida Aziz
Oktober 4, 2020 13:37 MYT
Oktober 4, 2020 13:37 MYT
TELUK INTAN: Seorang remaja perempuan terpaksa menahan sakit selama 20 minit selepas tangan kirinya tersepit di 'sprocket' (gegancu) ketika membonceng motosikal di Kampung Bahagia di sini pada Ahad.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata mangsa dikenali sebagai Nur Farisya Mohd Rawi, 17, membonceng motosikal yang ditunggang oleh adiknya.
"Pihak bomba terima panggilan pada jam 8.30 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan bergegas ke lokasi kejadian.
"Mangsa terpaksa menahan kesakitan selama 20 minit sebelum anggota berjaya keluarkan tangan kirinya yang tersepit.
"Ketika kejadian dipercayai motor dalam keadaan bergerak dan ketika itu mangsa sebagai pembonceng cuba membetulkan seluarnya lalu tersepit di 'sprocket' motosikal.
"Tangan kiri mangsa mengalami kecederaan yang agak teruk," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, anggota bertindak menggunakan peralatan khas menyelamat untuk mengeluarkan tangan yang tersepit seterusnya menyerahkan mangsa kepada petugas kesihatan untuk rawatan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9 pagi.