Remaja perempuan reka cerita diculik mengaku bersalah

Astro Awani
Januari 6, 2016 17:40 MYT
Remaja perempuan yang mereka cerita diculik baru-baru ini mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang. - Foto Bernama
Remaja perempuan yang mereka cerita diculik baru-baru ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang dan mengaku bersalah atas tuduhan memberi maklumat palsu.
Gadis 14 tahun itu membuat pengakuan di hadapan Majistret, Nor Asma Ahmad pagi Rabu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 196 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menggunakan keterangan diculik sebagai keterangan yang benar sedangkan ia adalah palsu.
Kesalahan itu dilakukan di Bandar Sultan Suleiman, Klang jam 9.12 pagi pada 29 Disember lalu.
Nor asma menetapkan 14 Januari depan untuk fakta dan perintah.
Sementara itu, teman lelakinya Gan Chin Teck, 19, turut didakwa di mahkamah yang sama kerana melarikan remaja bawah umur tanpa keizinan yang sah, mengikut seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, Chin Teck mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syed Farid Syed Ali mengikut Seksyen 196 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 serta Seksyen 361 Kanun sama.
Sebelum ini gempar rakaman perbualan seorang gadis dengan kakak angkatnya yang mendakwa di culik sekumpulan lelaki menggunakan van putih.
Rakaman perbualan yang tersebar di media sosial itu kemudian disisasat pasukan khas Polis Diraja Malaysia selepas menerima laporan yang dibuat ibu mangsa.
Dia kemudiannya ditemui selamat oleh sepasukan polis bersama seorang pemuda dipercayai teman lelakinya di hadapan sebuah stesen minyak di Kanchong Darat, Banting, Klang pada 31 Disember lepas.
BACA: Apa kata pakar psikologi tentang kes ini?
#culik #jkm #maklumat palsu #polis #remaja #Siasat #teman lelaki
;