Remaja perempuan maut digilis lori

Vivi Sumanti
Ogos 30, 2018 12:17 MYT
Mangsa, Nur Wardiah dikatakan sedang menunggang motosikal berseorangan apabila terlanggar belakang sebuah kereta jenis Perodua Viva yang berhenti di bahu jalan. - Astro AWANI
Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun maut dalam satu kemalangan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) berhampiran gerai menjual jagung di Kampung Tikat, di sini, semalam.
Mangsa dikenali sebagai Nur Wardiah Syahirah Mustafa, 14 tahun, seorang pelajar Sekolah Menengah Penambang.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Ismail Mat Sidek, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Jalan PCB menuju ke arah Kota Bharu.
"Setibanya di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal berseorangan dikatakan terlanggar belakang sebuah kereta jenis Perodua Viva yang berhenti di bahu jalan.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh di tengah jalan dan pada masa yang sama sebuah lori yang berada di belakang menggilis mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa maut ditempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Kata Ismail, polis sedang mengesan pemandu lori berkenaan kerana bertindak tidak memberhentikan lorinya dalam insiden kira-kira jam 4.30 petang itu.
Tambahnya, pemandu kereta Viva tersebut merupakan seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi dan dia tidak mengalami kecederaan selain mempunyai lesen memandu yang sah.
Difahamkan, pelajar yang maut itu memakai topi keledar semasa kejadian namun tidak mempunyai lesen memandu.
#digilis lori #Jalan Pantai Cahaya Bulan #kampung tikat #kemalangan #Kota Bharu #remaja
;