Remaja perempuan maut, adik 3 tahun cedera dalam kebakaran
Afiezy Azaman
September 14, 2021 12:55 MYT
September 14, 2021 12:55 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan maut manakala adiknya cedera selepas rumah didiami mereka terbabit dalam kebakaran di Kampung Baru Kundang, Rawang, Selangor, pada Selasa.
Menurut Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, kejadian yang berlaku pada pukul 11 pagi itu melibatkan mangsa B.Thiviya berusia 19 tahun dan adik lelakinya B.Vishnu, 3 tahun.
"Bomba menerima panggilan pada 11.24 pagi dan seramai 16 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang serta BBP Sungai Buloh telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Ketika anggota tiba, rumah berkenaan sedang marak dijilat api dan terbakar hampir 90 peratus.
"Mangsa yang maut melecur hampir 80 peratus dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala adik lelakinya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataa, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Norazam berkata, siasatan awal mendapati ibu bapa mangsa tiada di rumah ketika kejadian kerana keluar bekerja.
"Punca kejadian masih dalam siasatan," jelasnya.
#Balai Bomba dan Penyelamat
#BBP
#bomba
#Hospital Sungai Buloh
#satu kebakaran
#Kampung Baru Kundang
#Norazam Khamis