Remaja perempuan jaga ibu sakit disamun, dibunuh kejam
Nur Fazlizai Ali
November 1, 2020 21:47 MYT
November 1, 2020 21:47 MYT
HULU TERENGGANU: Seorang gadis maut selepas disamun dan ditetak penjenayah yang memecah masuk kediamannya di Kampung Lubuk Batu, Hulu Terengganu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu mangsa Siti Nur Surya Ismail, 19 tahun ditemui tertiarap di bahagian ruang tamu rumahnya.
Kejadian itu juga menyebabkan pergelangan kiri mangsa putus serta beberapa kecederaan pada anggota badan akibat tetakan tersebut.
Bapa mangsa, Ismail Muda, 58 tahun, memberitahu mereka hanya menyedari insiden itu kira-kira jam 2 petang selepas anak bongsunya pulang dari sekolah.
Menurutnya, anaknya itu juga menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat menghidap penyakit barah otak.
Katanya, sebelum itu adiknya beberapa kali menghubungi mangsa namun tiada jawapan dan menyebabkan adiknya pulang sendiri berjalan kaki.
Namun, sejurus tiba di rumah adiknya yang berusia 15 tahun terkejut melihat keadaan kakaknya.
“Sepatutnya dia ambil adik dia dari sekolah tapi dia tak datang. Adik dia balik jalan kaki.
“Lebih kurang pukul 2.30 adiknya telefon, beritahu kakaknya berlumuran darah dan tangan dia putus,” katanya.
Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata pihaknya percaya mangsa dipukul menggunakan objek tumpul.
"Pihak polis ke tempat kejadian mendapati seorang perempuan dalam keadaan tertiarap di dalam rumah tersebut dan terdapat kecederaan pada bahagian badan dan juga muka,” kata Marzukhi.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mengulas lanjut, Mohd Marzukhi berkata, polis tidak menolak kemungkinan penjenayah yang disyaki menyamun dan menetak gadis itu dikenali ahli keluarga mangsa.
"Buat masa ini, pihak polis mempercayai suspek kes ini adalah seorang yang berkemungkinan dikenali keluarga mangsa ataupun si mati.
"Jadi, kita sedang giat mengesan suspek tersebut," katanya sambil menambah, beliau percaya hanya seorang suspek yang terlibat dalam kejadian itu.
#Kuala Terengganu
#Hulu Terengganu
#Kampung Lubuk Batu
#maut disamun
#Seksyen 302 Kanun Keseksaan
#bunuh
#suspek
#Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar
#Tetak
#samun
#ibu sakit
#tangan putus
#berlumuran darah
#polis
#objek tumpul
#tertiarap
#penjenayah
#Siti Nur Surya Ismail