Remaja perempuan hanyut ketika mandi-manda ditemukan lemas
Mirlen Axtius
Ogos 30, 2023 14:38 MYT
Ogos 30, 2023 14:38 MYT
KOTA BELUD: Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hanyut dibawa arus sungai ketika mandi-manda pada Isnin ditemukan lemas di Daradaat View, Kampung Ratau, Kota Belud hari ini.
Mayat Qiezlle Uyiko, 14, ditemukan oleh pasukan bomba dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga selepas mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, mangsa ditemui pada jam 10.20 pagi 5 kilometer dari lokasi Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
"Pasukan Bomba membawa mangsa ke PKTK dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari tadi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Isnin lalu, mangsa dilaporkan lemas dan di awa arus semasa melakukan aktiviti mandi sungai bersama keluarga di Daradaat View, Kampung Ratau, Kota Belud kira-kira jam 2.30 petang.
Sementara itu ayah mangsa, Gerald menerusi satu hantaran pesanan di aplikasi Whatsapp berkata, jasad anaknya ditemukan berada dalam keadaan sempurna sambil berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha mencari mangsa.
Beliau turut memohon maaf kepada semua yang mengenali anaknya dan meminta agar segala kesalahan dan dosa anaknya dimaafkan.
"Mohon urusan selepas ini dipermudahkan demi anak kami tercinta Qiezelle Yukiko. Tuhan memberkati kamu semua," katanya.