Remaja perempuan ditemui terjatuh dari kondominium
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 29, 2022 15:04 MYT
Ogos 29, 2022 15:04 MYT
BAYAN LEPAS: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 11 sebuah kondominium di Persiaran Bayan Indah, Bayan Baru, di sini, pada Isnin.
Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di bahagian bumbung tempat letak kenderaan kondominium tersebut sekitar pukul 6.30 pagi dan kejadian disedari oleh ibu mangsa.
Ibu mangsa kemudiannya menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut .
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Rohaizal Abdul Aziz memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.48 pagi.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba anggota bomba menemui mangsa perempuan berusia 13 tahun di atas bumbung tingkat satu selepas dikatakan terjatuh dari aras 11.
“Kita bantu pihak polis dan Kementerian Kesihatan (KKM) menurunkan mangsa dari bumbung tempat letak kenderaan itu.” katanya hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.