Remaja perempuan baling pisau pada adik sehingga maut, direman 6 hari

Bernama
Oktober 20, 2022 12:29 MYT
Remaja perempuan ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian membaling pisau ke arah adik lelakinya berusia 16 tahun hingga maut di rumah mereka di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh semalam. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan yang dipercayai membaling pisau pada adik lelakinya sehingga menyebabkan maut di Ulu Pulai, Ulu Choh dekat Iskandar Puteri semalam, direman enam hari bermula hari ini.
Tempoh reman sehingga 25 Okt terhadap remaja berusia 18 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurmadiana Mamat di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
BACA: Berebut tempat duduk, remaja 16 tahun maut ditikam kakak
Semalam, polis menahan remaja itu selepas menerima laporan mengenai insiden tersebut pada 2.15 petang.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin dilapor berkata tragedi malang itu dipercayai berpunca apabila mangsa yang berusia 16 tahun bergaduh dengan kakaknya berikutan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.
-- BERNAMA
#baling pisau #bunuh adik #Iskandar Puteri #remaja perempuan direman
;