Remaja perempuan 15 tahun dirogol bapa saudara

Adie Sufian Zulkefli
Mei 22, 2022 14:53 MYT
Suspek (berbaju hitam) yang berusia 34 tahun dan bekerja sebagai tukang aluminium telah direman selama tujuh hari bermula hari ini. - Gambar Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Seorang remaja perempuan menjadi mangsa rogol bapa saudara sendiri di sebuah rumah di Bandar Mutiara di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa berusia 15 tahun dikatakan ditinggalkan sementara oleh neneknya di rumah suspek selama dua hari kerana neneknya pulang sementara ke kampung di Pendang.
Katanya, dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa sedang tidur bersama ibu saudara dan dua orang sepupunya di dalam bilik tidur hadapan rumah terbabit.
“Suspek telah masuk ke dalam bilik bertindak meraba tubuh mangsa lalu merogol mangsa.
“Mangsa cuba melawan namun tidak berdaya kerana takut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Zaidy, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani sebelum pegawai penyiasat membawa mangsa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, keputusan hasil pemeriksaan pakar perubatan mendapati terdapat kesan penetrasi vagina (kesan tusukan benda tumpul) dan merupakan kesan koyakan baharu pada kemaluan mangsa.
“Polis kemudiannya ke alamat yang diberikan mangsa dan berjaya menahan suspek.
“Suspek berusia 34 tahun bekerja tukang aluminium telah direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 28 Mei depan untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK).
#remaja 15 tahun #dirogol bapa saudara #rogol #Sungai Petani
;