Remaja perempuan 14 tahun maut dihempap pokok
Norfarhiza Mohd Atar
Januari 19, 2023 00:27 MYT
Januari 19, 2023 00:27 MYT
KUANTAN: Seorang remaja perempuan yang cedera dihempap pokok tumbang di Kampung Balok Baru di sini petang Khamis, disahkan meninggal dunia malam ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa Aliya Zahra Mohamad Hasnizam, 14, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Menurutnya, polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 9 malam.
"Maklumat lanjut akan menyusul," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.35 petang sebelum enam anggota bersama seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki sebuah jentera.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati seorang remaja perempuan dihempap pokok dan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kejadian tersebut turut menjejaskan empat buah kenderaan awam dan kabel elektrik.
"Pasukan bomba bertindak memberikan bantuan awal kecemasan kepada remaja tersebut sebelum mangsa dihantar ke hospital oleh ahli keluarganya untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan mangsa yang belum dikenal pasti cedera dan tidak sedarkan diri selepas dihempap pokok berkenaan sebelum dihantar ke HTAA untuk rawatan.