Remaja pandu lawan arus hingga sebabkan kematian didakwa di mahkamah esok

Astro Awani
Mac 23, 2017 13:16 MYT
Pada 17 Mac lalu, Pei Ven mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis syabu ke dalam badannya di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam. - Bernama
Remaja perempuan yang memandu melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan maut di KM 134 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Permatang Pauh 13 Mac lalu, akan didakwa atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah Dan alkohol sehingga menyebabkan kematian.
Ini adalah pertuduhan kedua ke atas model sambilan itu selepas dihadapkan atas pertuduhan penyalahgunaan dadah pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid melalui Aplikasi Whatsapp berkata Ng Pei Ven, 19, akan didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, remaja berusia 19 tahun itu berdepan dengan hukuman penjara antara tiga tahun dan 10 tahun dan denda antara RM8,000 dan RM20,000.
Pendakwaan akan dijalankan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok.
Nik Ros Azhan memaklumkan keputusan pendakwaan di bawah akta tersebut telah dipersetujui oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali susulan satu taklimat berhubung kertas siasatan kes berkenaan oleh pihak polis.
Pada Jumaat minggu lalu, Pei Ven mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis syabu ke dalam badannya di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
Tertuduh, yang merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM5,000 bersama dua orang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis pada setiap minggu.
Dalam insiden 7.50 pagi Selasa itu, Pei Ven memandu melawan arus sejauh lima kilometer dari Plaza Tol Sungai Dua menghala ke Butterworth.
Dia kemudian merempuh sebuah Perodua Kelisa dan menyebabkan kematian pemandunya Mohamad Fandi Rosli, 26 tahun.
Turut terlibat dalam kemalangan itu ialah dua buah kereta lain serta masing-masing sebuah van pekerja dan motosikal.
Pei Ven mendakwa dia ternampak sebuah lori besar berdekatan Plaza Tol Sungai Dua sebelum membuat pusingan 'U' dan memandu melawan arus.
#kemalangan #mahkamah #maut #model #pandu lawan arus #PLUS #polis #remaja #Syabu
;