Remaja OKU redah api selamatkan adik dapat dua anugerah
Bernama
Oktober 17, 2020 17:40 MYT
Oktober 17, 2020 17:40 MYT
KUANTAN: Keberanian seorang remaja lembam Nuraina Erieka Abdullah menyelamatkan adiknya dalam satu kebakaran mendapat pengiktirafan apabila dianugerahi Pingat Hang Tuah dan Tokoh Srikandi Kanak-Kanak Negeri Pahang 2020, hari ini.
Di Putrajaya, Pingat Hang Tuah itu disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun bersempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2020 yang diadakan secara maya disebabkan penularan wabak COVID-19.
Sementara itu di Kuantan, anugerah ketokohan itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, pada Sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat negeri di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom di sini, hari ini.
Remaja yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) itu menyelamatkan adik bongsunya daripada rumah yang terbakar, bulan lalu.
Ibunya Nur Zalina Mohd Fauzi, 38, mengakui, tidak pernah menyangka Nuraina Erieka, 13, akan menerima pengiktirafan itu kerana anak sulung daripada lapan beradik itu dilahirkan lembam, yang dikesan semasa remaja itu berada di darjah empat.
"Walaupun dilahirkan begitu, Erieka adalah seorang kakak yang sangat rapat dengan adik-adiknya, sehingga boleh diharap untuk menjaga mereka jika saya perlu melakukan kerja rumah.
"Saya pernah beberapa bertanya jika dia tidak takut melihat api (semasa meredah masuk ke rumah yang terbakar) dan setiap kali Erieka menjawab, adik akan mati jika dia tidak berbuat demikian," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Selaku penerima, Nuraina Erieka yang merupakan pelajar pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semambu di sini, menerima wang tunai RM2,000 dan trofi, yang mana Nur Zalina berkata wang tersebut akan disimpan untuk kegunaan pelajaran anaknya itu.
Nuraina Erieka juga merupakan penerima Pingat Hang Tuah yang disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2020 yang diadakan secara maya hari ini, ekoran pandemik wabak COVID-19 yang melanda negara.
Mengulas mengenai kebakaran yang berlaku pada 9.30 malam 23 Sept lalu, Nur Zalina berkata semasa itu, beliau dan suami sedang menguruskan emak mertuanya yang uzur di rumah keluarga suaminya, yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah sewa mereka di tingkat tiga flat Taman Anggerik Desa di Jalan Beserah di sini.
"Erieka hubungi saya untuk beritahu dapur terbakar. Saya minta dia simbah air, namun dia beritahu api semakin besar. Saya segera mengarahkan dia untuk membawa adik-adik turun, sebelum kami bergegas pulang dan jiran maklumkan yang Erieka berlari ke atas walaupun ditegah.
"Selepas semuanya reda, Erieka beritahu saya bahawa dia teringat tidak mengambil adiknya Wan Ahmad Firash, setahun tujuh bulan, yang sedang tidur di bilik. Tak sangka, walaupun dilahirkan istimewa Erieka sangat berani dan sangat menyayangi adiknya," katanya.
Nur Zalina yang berniaga jagung rebus berkata, kebakaran hanya melibatkan ruang dapur rumahnya namun keberanian Nuraina Erieka mendapat perhatian ramai pihak, sehingga mereka datang menyampaikan bantuan bagi meringankan beban beliau sekeluarga.
-- BERNAMA
#remaja lembam selamatkan adik
#kakak redah api
#selamatkan adik
#terima anugerah
#Pingat Hang Tuah
#Tokoh Srikandi
#Kanak-kanak