Remaja OKU mangsa rogol lahirkan bayi: Polis dapat petunjuk baharu
Vivi Sumanti
Mac 12, 2022 04:45 MYT
Mac 12, 2022 04:45 MYT
PASIR MAS: Polis Kelantan mendapat petunjuk baharu berhubung kes seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) masalah pertuturan yang disyaki dirogol sehingga melahirkan bayi lelaki di dalam tandas rumahnya di Kampung Cherang Ruku di Pasir Puteh, Khamis lalu.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun yang menjelaskan, setakat ini pihaknya sedang mengesan pelaku yang terlibat.
Pada masa sama, pihaknya masih menunggu hasil siasatan dan percaya suspek berada di sekitar rumah mangsa.
"Saya percaya pelaku (suspek) berada tidak jauh dari rumah mangsa. Apa pun, kita tunggu siasatan dan insya-Allah kita akan selesaikan dalam masa terdekat.
"Apabila kita mempunyai anak istimewa begini, pemerhatian dan pengawasan perlu lebih dari ibu bapa. Dan ibu bapa juga perlu melihat secara menyeluruh, kerana kadang-kadang, masyarakat di kampung terlalu mempercayai orang," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas program ‘Tangan Bersalaman’ dan penyampaian sumbangan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gual To’ Deh di Rantau Panjang, dekat sini, semalam.
Khamis lalu, media melaporkan seorang remaja perempuan OKU masalah pertuturan berusia 18 tahun disyaki dirogol sehingga melahirkan bayi lelaki di dalam tandas rumahnya di Kampung Cherang Ruku di Pasir Puteh.
Ibu mangsa yang berusia 36 tahun dikatakan mengetahui kejadian itu kira-kira pukul 10.40 malam.
Susulan itu, ibu saudara mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Cherang Ruku.
Bapa mangsa kemudian membawa bayi berkenaan ke Klinik Kesihatan Cherang Ruku untuk rawatan lanjut.
Berdasarkan keterangan, mangsa tidak pernah keluar rumah melainkan hanya ditemani bapanya.
Bagaimanapun, mangsa pernah ditinggalkan bersama saudara-mara di rumah, ketika ibu bapanya keluar mengambil zakat di sebuah masjid, Mei tahun lalu.
Ibu mangsa mengesyaki suspek masuk ke dalam rumah dan merogol anaknya.