Remaja OKU kerdil hilang main di longkang ditemukan lemas

Bernama
Mac 6, 2024 22:15 MYT
Remaja Orang Kurang Upaya (OKU) kerdil yang hilang ketika bermain air di longkang di Jalan Rajawali 16, Taman Wawasan dekat Kulai semalam ditemukan lemas tengah hari tadi. - Foto Sinar Harian/bomba
JOHOR BAHRU: Remaja Orang Kurang Upaya (OKU) kerdil yang hilang ketika bermain air di longkang di Jalan Rajawali 16, Taman Wawasan dekat Kulai semalam ditemukan lemas tengah hari tadi.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai Fairuz Helmi Mohd Ali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 9 malam dan menggerakkan sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Kulai dengan kekuatan keseluruhan tujuh anggota ke tempat kejadian.
Beliau berkata menurut saksi kejadian, remaja OKU lelaki berusia 17 tahun itu dipercayai bermain air di longkang bersama seorang rakan dan kemudian tergelincir ke dalam longkang dan hilang.
"Bapa mangsa yang menyedari anaknya tidak pulang seperti kebiasaan terus bertanya kepada ibu bapa rakan anaknya yang bermain bersama-sama dan bertindak menghubungi talian kecemasan 999 sejurus mengetahui perkara sebenar," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata kerja pencarian awal dilakukan di sekitar mangsa terakhir dilihat dan operasi hari kedua hari ini melibatkan pencarian di sepanjang tali air dan berjaya menjumpai mangsa pada jarak lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.
Fairuz Helmi berkata mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Ketua Polis Kulai Supt Tan Seng Lee berkata bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai menerima panggilan melalui MERS 999 daripada seorang lelaki memaklumkan anaknya telah hilang dibawa arus deras ketika bermain di parit ketika waktu hujan.
Beliau berkata sejurus menerima maklumat, operasi mencari dan menyelamat dilakukan pihak polis bersama bomba bermula malam tadi, namun terpaksa dihentikan kira-kira pukul 2 pagi kerana cuaca buruk.
"Operasi berkenaan diteruskan pada 9 pagi tadi dibantu unit anjing pengesan (K9) dan orang ramai.
"Mayat mangsa telah dijumpai kira-kira 12.30 tengah hari di kawasan parit di Taman Saujana Impian kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang," katanya.
Tan berkata mayat mangsa telah disahkan oleh keluarga, manakala siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
-- BERNAMA
#remaja OKU kerdil #hilang main di longkang #ditemukan lemas #taman wawasan
;