Remaja OKU hilang ditemukan maut dalam longkang

Amirrul Rabbani
April 27, 2023 16:57 MYT
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata mayat mangsa yang berusia 19 tahun itu ditemukan di lokasi berkenaan pada jam 5.45 petang. - Bernama
IPOH: Seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang beberapa hari ditemukan maut dalam longkang di Jalan Persiaran Kerian Permai, Parit Buntar pada Rabu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata mayat mangsa yang berusia 19 tahun itu ditemukan di lokasi berkenaan pada jam 5.45 petang.
Menurutnya, sebelum itu pihaknya menerima laporan polis daripada bapa mangsa yang berusia 41 tahun yang memaklumkan kehilangan anaknya di Balai Polis Parit Buntar pada jam 2.06 petang, Rabu.
“Hasil siasatan mendapati pada Isnin, lebih kurang jam 10.30 malam mangsa telah pergi ke rumah rakannya bersama sepupu lelaki di Taman Kerian Permai.
“Semasa dalam perjalanan pulang mangsa yang sedang menunggang motosikal berseorangan telah membuang motosikal yang ditungganginya dan terus berlari menuju ke arah Persiaran Jalan Permai seperti ketakutan.
“Dan (mangsa berlari) terlalu pantas sehinggakan rakan dan sepupunya tidak nampak kelibatnya lagi. Bapa mangsa cuba mencari sendiri namun gagal menemukan anaknya itu dan bertindak meminta bantuan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ujar Mohd Yusri siasatan lanjut oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian mendapati tiada unsur perlakuan jenayah di tempat kejadian.
Dalam pada itu, katanya berdasarkan kepada proses pengecaman mayat di tempat kejadian, bapa mengesahkan mayat di lokasi kejadian adalah anaknya yang dilaporkan hilang sebelum itu.
“Beberapa spesimen diterima dan dihantar ke Jabatan Kimia di Ipoh bagi membantu keseluruhan siasatan. Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
“Justeru orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang akan mengeruhkan lagi keadaan dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis terdekat atau 05-7212222 Bilik Gerakan IPD Kerian,” katanya lagi.
#remaja OKU #polis #remaja hilang #parit buntar #remaja maut
;