Remaja OKU ditemukan maut dalam kebakaran di pangsapuri
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 8, 2022 14:10 MYT
Mei 8, 2022 14:10 MYT
BAYAN BARU: Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) maut dalam kejadian kebakaran di kediamannya di tingkat lapan, Apartment Desa Bayan, Bayan Baru, Pulau Pinang pagi Ahad.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, mangsa yang berusia 18 tahun ditemukan dalam keadaan tertiarap dan melecur pada bahagian belakang badan di dalam bilik tidur rumahnya.
Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada jam 8.59 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.
Jentera Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru dengan bantuan Bomba Seri Balik Pulau bergegas ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.
Sebaik tiba anggota bomba mendapati kejadian melibatkan sebuah rumah di tingkat lapan dengan peratusan kemusnahan sebanyak 80 peratus.
"Terdapat seorang mangsa yang juga OKU, semasa ditemui mangsa tidak sedarkan diri di dalam bilik tidur berkenaan.
"Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap, dan bahagian belakang tubuhnya melecur," kata kenyataan tersebut hari ini.
Sementara itu punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.