Remaja OKU ditemui dikurung di Nilai

Bernama
Jun 21, 2014 15:11 MYT
Penemuan dilakukan dalam Ops 6P oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan
Seorang remaja lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) ditemui dikurung dalam keadaan menyedihkan di sebuah rumah pangsa di Taman Semarak di sini pagi tadi.
Penemuan dilakukan dalam Ops 6P oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dari pukul 2 hingga 6 pagi.
Menurut Pengarah jabatan berkenaan Faizal Fazri Othman, remaja berumur 15 tahun itu bukan hanya kurus kering, malah persekitaran bilik di rumah pangsa itu didapati dipenuhi dengan tanah dan najis.
Beliau berkata remaja itu kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk pemeriksaan manakala ibunya yang dikatakan berasal dari Sabah ditahan untuk siasatan lanjut.
Rumah itu diserbu kerana dikatakan didiami pendatang tanpa izin (Pati), katanya.
Dalam operasi itu, 74 Pati ditahan.
"Mereka yang ditahan didapati tinggal lebih masa dan tiada dokumen pengenalan diri. Kebanyakannya terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Nepal, Sri Lanka dan India. Mereka kemudiannya dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng," kata Faizal Fazri.
Operasi membabitkan 115 anggota Jabatan Imigresen, 30 anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia, empat anggota Jabatan Pertahanan Awam dan lima anggota Jabatan Pendaftaran Negara.
#Imigresen #nilai #OKU #rumah pangsa
;