Remaja menyamar petugas hospital dirujuk ke JKM - KP Selangor

Bernama
Ogos 11, 2024 15:37 MYT
Wan Kamarul Azran dilaporkan sebagai berkata remaja itu yang direman dua hari sudah dibebaskan dengan jaminan polis malam semalam. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan kerana menceroboh dan menyamar sebagai petugas di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang pada Khamis lepas telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sepang untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata tindakan tersebut diambil pihak polis memandangkan remaja perempuan terbabit adalah di bawah umur.
"Remaja tersebut sudah dirujuk ke JKM Sepang sejak semalam," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada Khamis lepas, remaja itu ditahan di lobi HSIS kerana disyaki menyamar sebagai pegawai perubatan dan menawarkan diri untuk membantu menjalankan satu pembedahan.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dilaporkan sebagai berkata remaja itu yang direman dua hari sudah dibebaskan dengan jaminan polis malam semalam.
Beliau berkata kertas siasatan berhubung kes itu sedang dilengkapkan serta akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam.
-- BERNAMA
#Jabatan Kebajikan Masyarakat #penjawat awam #jaminan polis #Pembedahan