Remaja menyamar pegawai perubatan pernah jalani rawatan psikiatri, tidak hadir rawatan susulan

Ridauddin Daud
Ogos 12, 2024 16:10 MYT
Remaja itu diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pemantauan dan sesi kaunseling sebelum laporan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
SEPANG: Polis mengesahkan remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan kerana menyamar sebagai pegawai perubatan mempunyai sejarah rawatan psikiatri pada awal tahun ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, remaja tersebut menerima rawatan pada Mac lepas namun tidak meneruskan rawatan susulan yang perlu dihadirinya.
Menurutnya, perkara itu juga disahkan keluarga remaja berkenaan yang tidak lagi bersekolah buat masa ini.
Ketika ditanya bagaimana cara remaja itu memasuki hospital, Hussein memberitahu dia menggunakan kad pengenalan ibunya dan mendakwa kehilangan pas kerja.
“Dia masuk, lepas itu dia menggunakan kad pengenalan ibu dia, konon dia telah kehilangan pas dan cuba mendapatkan pas yang kononnya telah hilang.
“(Siasatan ada tak menjurus kepada kecuaian hospital?) Itu saya tak dapat komen.
“Kita masih berbincang dengan pihak hospital untuk mengetatkan prosedur berkaitan keluar masuk hospital terutamanya kawasan sensitif,” katanya.
Berkongsi keadaan remaja tersebut, Hussein memberitahu remaja itu berada dalam keadaan tertekan dan emosi tidak stabil yang membawa kepada tindakan berkenaan.
Jelasnya, buat masa ini, remaja itu diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pemantauan dan sesi kaunseling sebelum laporan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Ditanya sama ada remaja itu masih akan didakwa di mahkamah, Hussein berkata: "JKM akan lihat dari segi kaunseling…yang boleh buat keputusan untuk tuduh di mahkamah adalah Timbalan Pendakwa Raya selepas terima laporan daripada JKM dan sebagainya
“Bila tuduh di mahkamah pula, mahkamah akan tentukan untuk mengarahkan remaja itu terima rawatan di hospital dan jalani proses yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada Isnin.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, mengesahkan remaja warga tempatan itu ditahan kira-kira jam 9 pagi di lobi Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang.
Polis turut merampas sehelai baju scrub, seluar scrub dan lanyard hak milik hospital yang digunakan remaja berkenaan.
Siasatan awal polis mendapati suspek telah menceroboh dewan bedah hospital dan mengaku sebagai pegawai perubatan serta mahu membantu menjalankan pembedahan.
#Hussein Omar Khan #remaja menyamar #pegawai perubatan #Hospital Serdang
;