Remaja mengaku salah buat aksi 'wheelie' bersama isteri berusia 16 tahun
Sinar Harian
April 30, 2023 13:11 MYT
April 30, 2023 13:11 MYT
KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini pada Ahad atas tuduhan melakukan aksi 'wheelie' semasa menunggang motosikal pada 1 Syawal lalu.
Pertuduhan terhadap buruh kasar tersebut dibuat di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menunggang motosikal jenis Honda C100B dengan cara mengangkat tayar hadapan yang berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di sini pada jam 12 tengah hari, 22 April lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum bawah peruntukan sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh maksimum lima tahun dan denda minimum RM5,000 sehingga RM15,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad, manakala remaja tersebut diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Kelantan, Nor Zaimah Mohamed.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM900 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Jun ini bagi mendapatkan laporan akhlak.
Lelaki itu dan isterinya berusia 16 tahun yang membonceng motosikal menyerah diri kepada polis pada Khamis lalu selepas aksi mereka tular di laman sosial.
Remaja perempuan yang hamil dua bulan setengah tersebut bagaimanapun dibebaskan sebagai saksi pertuduhan. - Sinar Harian