Remaja mengaku bersalah menyamar jadi doktor di PPV

Nuzuluddin Abdul Razak
Julai 7, 2021 15:51 MYT
Tertuduh, Shah Hairil Izman Dave telah menyamar sebagai pegawai perubatan di Hospital Umum Sarawak sebanyak 32 kali antara 15 Jun hingga 1 Julai lalu. - Gambar PDRM
KUCHING: Seorang remaja mengaku bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuching atas tuduhan menyamar sebagai doktor pakar yang bertugas di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di Petra Jaya.
Tertuduh, Shah Hairil Izman Dave, 20, dari Bandar Baru Semariang membuat pengakuan itu semasa prosiding yang dilakukan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi pada Selasa.
Bagaimanapun, Zubaidah dalam penghakimannya memutuskan agar tertuduh ditahan lanjut sehingga 17 Ogos.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 18 Ogos depan sebagai sebutan semula kes bagi mendengar laporan sosial tertuduh.
Syah Hairil dituduh di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda jika disabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah memperkenalkan dirinya sebagai Dr Shah Hairil, siswazah perubatan yang ditugaskan di hospital kerajaan di bahagian neurologi.
Tertuduh telah melakukan kesalahan itu antara Januari hingga Julai tahun ini, malah telah menyamar sebagai pegawai perubatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) sebanyak 32 kali antara 15 Jun hingga 1 Julai lalu.
Namun, rahsianya terbongkar apabila seseorang yang berada di PPV itu mengenalinya dan mengakui rakan sekelas tertuduh ketika di tingkatan dua pada 2016.
Tertuduh ditahan polis di PPV Stadium Perpaduan Kuching pada 1 Julai lalu sekitar pukul 3 petang.
Ketika ditahan, polis turut merampas peralatan kedoktoran, pakaian kerja berwarna biru, serta pas kerja palsu dengan nama Dr Shah Hairil Izman.
#doktor palsu #remaja 20 tahun #menyamar jadi doktor #Pusat Pemberian Vaksin #Hospital Umum Sarawak #Stadium Perpaduan Kuching #Mahkamah Majistret Kuching #Petra Jaya
;