Remaja melecur di kepala kebakaran rumah, tadika di Taman Johor

Bernama
Februari 13, 2024 11:30 MYT
Mangsa yang berusia 17 tahun diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Seorang remaja lelaki melecur tahap dua pada bahagian kepala dalam kebakaran membabitkan dua rumah teres satu tingkat dan sebuah tadika di Jalan Ledang Taman Johor di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin Timbalan Penguasa Bomba I Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.25 malam sebelum 28 anggota dan jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 17 tahun sedang tidur, namun telah diselamatkan oleh orang awam.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO), didapati kebakaran melibatkan dua rumah teres satu tingkat yang masing-masing hampir musnah dan terbakar sedikit manakala tadika (musnah 30 peratus) selain empat motosikal turut terjejas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Mangsa kemudiannya diberi rawatan awal oleh anggota Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut," katanya menambah punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Operas ditamatkan sepenuhnya pada 10.46 malam tadi.
-- BERNAMA
#kebakaran rumah #Taman Johor #remaja melecur #bomba
;