Remaja maut, wanita patah kaki dalam kebakaran rumah kedai
Abd Razak Mohd Ali
Februari 5, 2021 08:55 MYT
Februari 5, 2021 08:55 MYT
PARIT BUNTAR: Seorang remaja perempuan maut manakala seorang wanita cedera dalam kebakaran dua buah rumah kedai di Jalan Pantai Kuala Kurau, dekat sini, awal pagi ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Leng Li Zhee, 13 tahun, sementara mangsa yang cedera belum dikenal pasti.
Leng melecur di bahagian kaki dan maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Parit Buntar.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 12.56 pagi.
“Kebakaran melibatkan dua buah kedai kelas C berkeluasan 40 x 50 melibatkan dua mangsa berbangsa Cina.
“Seorang wanita mengalami kecederaan patah kaki. Seorang lagi, berumur 13 tahun, melecur di bahagian kaki dan maut ketika orang awam menghantar mangsa ke hospital berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut jurucakap itu, operasi pemadaman dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau dengan dibantu anggota dari BBP Parit Buntar dan BBP Bagan Serai.
Katanya, mereka menggunakan dua aliran 400 kaki dan empat pancutan menggunakan air dari pili bomba sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.
Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhamad Ihram Mohd Zin tamat pada 4.05 pagi.