Remaja maut tertusuk buluh dibawa penunggang motosikal
Muhafandi Muhamad
Februari 22, 2019 17:47 MYT
Februari 22, 2019 17:47 MYT
Seorang remaja lelaki maut selepas tercucuk buluh di bahagian leher kanan di Kampung Kok Kiok, Machang pagi tadi.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa Mohd Asri Azman, 17, yang membonceng motosikal bersama sepupunya meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercucuk hujung buluh yang dibawa seorang penduduk kampung berkenaan menggunakan motosikal.
Menurut Mohd Fitri Rosdi, 18, sebelum kejadian dia mengambil Mohd Asri di rumahnya untuk berjalan-jalan di sekitar kampung bersama seorang lagi sepupu yang menunggang motosikal yang lain.
Katanya, mereka dari Kampung Bukit Sawa melalui Kampung Kok Kiok untuk ke Bukit Bakar.
Ketika berselisih, dia cuba mengelak sebuah motosikal yang ditunggang seorang penduduk dari arah bertentangan yang membawa sebatang buluh di atas bahunya.
Namun, dia tidak menyangka buluh yang dibawa penduduk itu tercucuk leher Mohd Asri menyebabkan dia terjatuh dan mengalami kecederaan.
Melihat keadaan Mohd Asri yang nazak, dia sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum mangsa menghembuskan nafas terakhir.
Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Superintenden Mohd Shamsuri Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara cuai menyebabkan kematian.