Remaja maut terkena renjatan elektrik

Sinar Harian
Mac 11, 2024 15:20 MYT
Anggota bomba mengangkat mangsa yang dipercayai terkena renjatan elektrik di Kampung Datu Pangeran Batu 7, Sandakan.
SANDAKAN: Seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Kampung Datu Pangeran Batu 7 di sini pada Isnin.
Remaja berusia 18 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum sepasukan anggota bomba hadir untuk mengangkat mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.03 pagi untuk bantuan mengangkat mangsa.
"Seramai enam anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh sembilan kilometer dari BBP Sandakan.
"Pasukan bomba yang hadir bertindak mengangkat mangsa menggunakan pengusung dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Severinus berkata, operasi tersebut ditamatkan pada jam 11.59 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian. - Sinar Harian
#remaja maut #renjatan elektrik #Sabah #pasukan bomba
;