Remaja maut terkena renjatan elektrik
Astro Awani
April 27, 2018 12:00 MYT
April 27, 2018 12:00 MYT
Hasrat seorang remaja lelaki berusia 16 tahun membaiki lampu di rumahnya berakhir dengan tragedi apabila mangsa maut akibat terkena renjatan elektrik.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam tadi di kediamannya di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A. Anbalagan berkata, kejadian disedari ibu mangsa yang baru selesai menunaikan solat Maghrib selepas terdengar jeritan mangsa di luar rumah.
Katanya, sebaik keluar, ibu mangsa berusia 57 tahun itu mendapati anak lelakinya terbaring di luar rumah dan terdapat wayar lampu di sebelahnya.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Balik Pulau.
Anbalagan berkata laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa diserahkan kepada waris untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Pinang.