Remaja maut, sepupu patah kaki dalam nahas

Sinar Harian
Jun 29, 2023 05:50 MYT
Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Bukit Besar Labuan. - Foto Sinar Harian
LABUAN: Seorang remaja lelaki maut manakala sepupunya patah kaki selepas motosikal yang mereka tunggangi terbabas di Jalan Bukit Besar di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, Muhamad Ansyahdinullah Sabarudin, 13, maut di lokasi manakala sepupunya yang berusia 15 tahun dirawat di Hospital Labuan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Ahmad Jawila berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda ADV yang ditunggang mangsa yang maut.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari bulatan Taman Mutiara menuju ke arah Kampung Sungai Lada.
"Ketika kejadian, motosikal mangsa terbabas dipercayai hilang kawalan dan melanggar penghadang besi menyebabkan mangsa terpelanting serta meninggal dunia di lokasi.
"Sepupu mangsa patah di bahagian lutut kiri dan dirawat di hospital serta dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan pada malam Khamis.
Katanya lagi, mayat mangsa dibawa ke hospital yang sama untuk tujuan bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan," katanya. - Sinar Harian
#Nahas #remaja #terbabas #motosikal
;