Remaja maut selepas terlanggar tayar lori
Adie Sufian Zulkefli
Jun 19, 2020 11:38 MYT
Jun 19, 2020 11:38 MYT
Seorang remaja lelaki yang baru pulang dari tempat kerja maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10 malam di Kilometer 112.7, mangsa Muhammad Faris Danial, 18, yang menunggang motosikal telah terlanggar sebuah tayar lori lalu terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan.
Muhammad Faris yang merupakan pekerja pasar raya di Bandar Puteri Jaya dilapor menunggang sendirian ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Seri Astana.
Setiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai tidak nampak sebuah lori yang mengalami kerosakan tayar berhenti di lorong kecemasan.
Muhammad Faris dipercayai gagal mengelak lalu terlanggar tayar yang berada di bahagian belakang lori tersebut.
Akibat perlanggaran, motosikal ditunggangi mangsa gagal dikawal lalu terbabas ke pembahagi jalan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, akibat pelanggaran, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#Adzli Abu Shah
#Akta Pengangkutan Jalan
#bedah siasat
#langgar tayar lori
#maut kemalangan motosikal
#Muhammad Faris Danial
#Unit Forensik