Remaja maut, rakan parah nahas babit dua motosikal
Nur Fazlizai Ali
Ogos 2, 2024 09:15 MYT
Ogos 2, 2024 09:15 MYT
KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar sekolah menengah maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah motosikal lain.
Kejadian berlaku di Jalan Kampung Telari, Manir, di sini, kira-kira jam 10.26 malam tadi.
Nahas menyebabkan Muhammad Hairis Irsyad Azhar, 15 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya Ahmad Uwais Qarni Azrul, 15 tahun, mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata, kejadian melibatkan kedua-dua remaja yang menaiki Yamaha 135 LC dan seorang lelaki berusia 25 tahun menunggang Honda EX5.
Katanya, siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggang pemuda itu dari arah Kampung Kebor Besar, Manir, menghala ke arah rumahnya di Kampung Banggol Tok Esah.
Manakala motosikal dinaiki remaja itu pula dari arah Kampung Kebor Besar menghala ke Banggol Peradong.
"Semasa motosikal pemuda berkenaan melintas masuk ke jalan utama, tiba-tiba motosikal Yamaha 135LC yang sedang bergerak lurus dari arah Kampung Kebor Besar telah bertembung dengannya di bahagian hadapan.
"Akibat pertembungan itu, mangsa pembonceng Yamaha 135 LC meninggal dunia di lokasi manakala penunggang kedua-dua motosikal parah," katanya.
Mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut.
Mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.