Remaja maut, rakan parah motosikal bertembung jentolak
Adie Sufian Zulkefli
Disember 7, 2021 00:52 MYT
Disember 7, 2021 00:52 MYT
BALING: Seorang remaja maut manakala rakannya parah dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan jentolak di Kampung Bandar, Jalan Baling-Weng, Selasa malam.
Dalam kejadian jam 9 malam itu kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 datang dari arah Baling menghala ke Weng.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kereta sebelum bertembung dengan jentolak di laluan bertentangan.
"Akibat perlanggaran itu, penunggang Muhamad Aiman Nor Hakim Rosidan, 19, maut di tempat kejadian. Rakannya berusia 18 tahun parah dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI Selasa malam.
Shamsudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Katanya, pemandu jentolak tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.