Remaja maut nahas tiga kenderaan selepas main futsal

Sinar Harian
Januari 19, 2024 12:00 MYT
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di KM21 Jalan Lipis-Lubuk Kulit pada Khamis. - Foto PDRM
LIPIS: Perjalanan pulang seorang remaja selepas bermain futsal berakhir dengan tragedi apabila maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 21 Jalan Lipis-Lubuk Kulit, Kampung Beletik di sini pada Khamis.
Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu melibatkan tiga kenderaan iaitu dua motosikal jenis Demak Smart Z, Honda EX5 dan sebuah kereta Proton Persona.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor memberitahu, mangsa berusia 13 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Demak Smart Z dalam perjalanan pulang ke rumah (hala ke Lipis) selepas selesai bermain futsal secara tiba-tiba dipercayai melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta Proton Persona di lokasi kejadian.
"Akibat kemalangan tersebut, motosikal mangsa terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal Honda EX5," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya, penunggang motosikal Honda EX5 berusia 34 tahun luka di jari kanan dan sakit di bahagian pinggang manakala pemandu kereta berusia 39 tahun tidak mengalami kecederaan.
Jelas beliau, kedua-dua penunggang motosikal tidak memakai topi keledar ketika kejadian dan kenderaan masing-masing telah tamat tempoh cukai jalan.
Tambahnya, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Sinar Harian
#Nahas #remaja #futsal #terbabas
;