Remaja maut MPV dipandu bapa rempuh tembok konkrit
Sinar Harian
Julai 17, 2022 05:45 MYT
Julai 17, 2022 05:45 MYT
KOTA BHARU: Seorang pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Kinta, Perak maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dipandu bapanya merempuh tembok konkrit penutup jalan kerana faktor gelap di susur keluar ke Ketereh di Lebuh Raya Baru Perol, di sini, pada Sabtu.
Kejadian berlaku pada jam 9.20 malam itu meragut nyawa penumpang belakang MPV terbabit, Nurul Balkqis Nafisah Khairul Fazli, 16, di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Bapa mangsa, Khairul Fazli Janedi, 45, mengalami luka ringan di tangan manakala ibunya, Norlela Ramli, 44, cedera dan luka di muka dan mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).
Mereka sekeluarga beralamat di Taman Bercham Raya, Ulu Kinta, Perak.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sewaktu pemandu memandu MPV membawa bersama isterinya penumpang hadapan dan anak perempuannya penumpang belakang dari arah Kota Bharu hendak menghala ke Kuala Terengganu melalui Lebuh Raya Baru Perol.
“Sampai di tempat kejadian, pemandu pada waktu itu memandu di lorong kanan lebuh raya dan dipercayai atas faktor pencahayaan yang gelap tidak perasan tembok batu konkrit penutup jalan yang berada di sebelah kanannya lalu melanggar tembok tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu hilang kawalan ke atas MPV dan terbabas pula melanggar pembahagi jalan di bahu jalan sebelah kiri sebelum MPV berpusing ke kanan menghadap tembok konkrit di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, pada Ahad.
Menurut beliau, kepala penumpang belakang dipercayai terkena hantukan yang kuat pada pintu kanan MPV sebelum disahkan meninggal dunia di bahagian penumpang belakang MPV di lokasi kejadian.
“Punca kejadian dipercayai kegagalan mengawal kenderaan menyebabkan kemalangan.
“Jenazah Nurul Balkqis Nafisah dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kota Bharu untuk bedah siasat,” katanya.
Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Sinar Harian