Remaja maut ketika balik mengaji
Sinar Harian
Julai 12, 2024 10:25 MYT
Julai 12, 2024 10:25 MYT
LIPIS: Seorang remaja yang baru selesai kelas mengaji maut apabila motosikal yang diboncengnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori, petang semalam.
Dalam kejadian itu, Nor Arisya Husniyah Azli, 14, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, dalam kejadian pada jam 5.50 petang itu, pemandu lori berusia 58 tahun dari arah Ladang Selborne dalam perjalanan balik ke Kampung Selindang.
"Dua remaja perempuan masing-masing berusia 14 tahun baru balik mengaji di Kampung Gua, menghala ke Kampung Padang Tengku.
"Apabila sampai di tempat kejadian di simpang tiga, motosikal berkenaan bertembung dengan lori yang bergerak di laluan terus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Sinar Harian