Remaja maut kenderaan terjunam dalam gaung

Astro Awani
Julai 13, 2016 23:06 MYT
Keadaan kenderaan mangsa yang tersadai di gaung dekat Kilometer 260 lebuh raya PLUS. - Foto Bernama
Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas dan terjatuh ke gaung sedalam 50 meter di Kilometer 260 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora, Ipoh pada Rabu.
Dalam kejadian pada jam 5.20 petang itu mangsa Muhammad Safiq Danial Alias, 18, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Mohamad Nur Hafiz Mohd Ridzuan, 20, patah kaki kiri.
Menurut Pegawai Turus Trafik Perak, Mohd Mahiri Hussin siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa gagal dikawal sebelum terbabas ke kiri jalan dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 50 meter itu.
Katanya, kedua-dua mangsa telah tercampak keluar dari kenderaan manakala kenderaan telah mengalami kerosakan teruk.
Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“(Kenderaan) dipercayai terbabas ke kiri dan melanggar pembahagi jalan dan menjunam ke gaung sedalam 50 meter.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana tercampak keluar dari kenderaan, manakala seorang lagi penumpang mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital,” ujar Mohd Mahiri.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.
Kira-kira 20 anggota bomba telah melakukan kerja-kerja menyelamat dan operasi telah berakhir pada jam 7 petang.
Mohd Mahiri berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#jatuh gaung #kemalangan #kemalangan Kuala Kangsar #pacuan empat roda
;