Remaja maut, kemalangan motosikal, kereta di Ipoh

Abd Razak Mohd Ali
Mac 7, 2024 05:00 MYT
Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta di Jalan Menglembu Impiana 1, Taman Impiana Adril, Ipoh, petang semalam. - Gambar fail
IPOH: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal jenis Yamaha Y15 ditunggangnya berlanggar dengan kereta Perodua Viva di Jalan Menglembu Impiana 1, Taman Impiana Adril, di sini, petang semalam.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Nabil Iqmal Abdullah, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, pemandu dan penumpang wanita yang menaiki kereta, masing-masing berusia 34 tahun, mengalami kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.11 petang.
Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira 15 minit kemudian.
“Ketika tiba di lokasi anggota mendapati seorang lelaki maut manakala dua wanita yang menaiki kereta cedera, termasuk wanita yang duduk di bahagian penumpang hadapan turut tersepit.
“Anggota menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa tersepit dan kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mayat penunggang motosikal diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut
#remaja maut #penunggang motosikal maut #JBPM Perak #Ipoh
;