Remaja maut kemalangan motosikal, dua adik cedera parah

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 4, 2021 22:30 MYT
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa berumur 17 tahun yang menunggang motosikal jenis Demak meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala. - Foto ihsan PDRM
SUNGAI PETANI: Seorang remaja perempuan maut manakala dua adik lelakinya parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Jalan Sidam Kiri dekat Sungai petani hari ini.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa berumur 17 tahun yang menunggang motosikal jenis Demak meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Manakala, dua adik lelakinya berumur 9 dan 11 tahun yang membonceng cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, pemandu Toyota Hilux berumur 34 tahun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memberitahu, kejadian dipercayai berlaku semasa motosikal yang dinaiki tiga beradik itu melintas jalan untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Sapi, Padang Buluh, Padang Serai.
“Motosikal dinaiki tiga beradik itu melintas secara tiba-tiba sebelum dirempuh oleh pemandu Toyota Hilux terbabit yang dalam perjalanan dari arah Sungai Petani menghala ke Padang Serai.
“Akibat rempuhan itu tiga beradik yang tidak memakai topi keledar tercampak ke tengah jalan dan kakak mereka meninggal dunia serta merta di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Adzli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#kemalangan #motosikal #Sungai Petani #remaja #Hospital Sultan Abdul Halim
;