Remaja maut jatuh kereta api dikenal pasti
Ruzaini Zulkepli
Mac 19, 2018 00:31 MYT
Mac 19, 2018 00:31 MYT
Remaja perempuan yang maut selepas terjatuh dari kereta api ketika perjalanan dari Beaufort ke Tenom hari ini, telah dikenal pasti.
Siti Intan Suraya Ambran, 15 tahun, merupakan seorang pelajar Tingkatan Tiga di SMK Entabuan, Tenom.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, dalam kejadian jam 1.40 petang Isnin itu, mangsa meninggal dunia di lokasi insiden selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala kaki kirinya turut bergesel dengan rel kereta api berkenaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa, bersama seorang sepupu perempuannya yang berusia 19 tahun, dikatakan menaiki kereta api dari stesen Beaufort ke Tenom. Sebaik masuk ke dalam gerabak, didapati ia sudah dipenuhi penumpang sehingga mereka mengambil keputusan untuk berdiri di tepi pintu.
"Dalam 10 minit perjalanan, mangsa dan sepupunya mengambil keputusan untuk duduk kerana kereta api itu bergoyang dan mangsa difahamkan duduk dengan keadaan lututnya keluar sedikit daripada gerabak.
"Tiba-tiba sepupu mangsa terdengar jeritan mangsa. Apabila dia menoleh, dia melihat mangsa dalam keadaan tersangkut pada sebatang kayu manakala kakinya termasuk ke dalam landasan kereta api.
"Penumpang-penumpang di dalam kereta api juga menjerit dan meminta untuk kereta api segera diberhentikan," katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Mengulas lanjut, Azmir berkata hasil siasatan mendapati lokasi kejadian adalah kawasan tanah runtuh di mana terdapat sebatang kayu kering berdekatan landasan dan ia terkena lutut mangsa.
"Mangsa kemudian terjatuh dan terseret, dan kaki kirinya bergesel dengan rel kereta api berkenaan.
"Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.
Jelas beliau, ketika kejadian, kereta api dua gerabak itu sedang membawa seramai 133 orang penumpang dan telah bertolak kira-kira jam 1.25 petang.
"Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Beaufort dan proses bedah siasat akan dilakukan pada jam 8 pagi esok.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," tambahnya.