Remaja maut, adik parah motosikal rempuh tiang lampu

Sinar Harian
Mei 12, 2023 10:30 MYT
Keadaan motosikal mangsa selepas melanggar tiang lampu di Jalan Persiaran Taman Seri Impian, di Kluang, malam tadi. - Foto Sinar Harian
KLUANG: Seorang remaja berusia 13 tahun maut manakala adiknya berusia 12 tahun cedera parah selepas motosikal dinaiki terbabas sebelum melanggar tiang lampu di Jalan Persiaran Taman Seri Impian di sini pada malam Khamis.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian jam 11.29 malam itu melibatkan motosikal jenis Honda Wave dinaiki dua beradik tersebut yang beralamat di Bandar Seri Impian di sini.
"Motosikal itu dipercayai datang dari arah kawasan perumahan Taman Seri Impian menghala ke lampu isyarat di Jalan Kota Tinggi-Kluang sebelum hilang kawalan dan melanggar tiang lampu jalan yang berada di tengah pembahagi jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penunggangnya, Muhammad Farish Hafiy yang tidak memiliki lesen cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Adiknya, Muhammad Amin Asyraf patah kaki kanan dan lebam di dahi dan dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom," katanya.
Menurutnya, dalam kejadian tersebut, kedua-dua beradik berkenaan tidak memakai topi keledar dan motosikal tersebut atas nama ibu mereka.
"Siasatan mendapati cukai jalan dan insurans telah tamat tempoh.
"Pemilik akan dipanggil untuk tindakan saman di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. - Sinar Harian
#motosikal #Kluang #remaja tunggang motosikal #motosikal rempuh tiang lampu
;