Remaja mati dipukul akibat ber'dating'
Astro Awani
April 24, 2017 17:54 MYT
April 24, 2017 17:54 MYT
Polis menahan seorang lelaki berusia 18 tahun selepas dia dipercayai memukul teman lelaki adiknya sehingga mati, dalam kejadian pada petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata, suspek sebelum itu ternampak adik perempuannya bersama mangsa di padang taman perumahan.
“Suspek kemudiannya berang dan memarahi kedua mereka sebelum bertindak menumbuk muka serta memukul teman lelaki adiknya menggunakan kayu di bahagian tengkuk.
“Orang awam yang berada di kawasan berhampiran kemudiannya menghalang suspek daripada terus memukul mangsa.
“Siasatan awal mendapati, suspek berang kerana adik perempuannya sebelum ini pernah beberapa kali lari dari rumah mengikut teman lelakinya,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Ayieruchizamsyah Lambang, 16, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuhara di Tawau.
Selepas dipukul, mangsa pulang ke rumah dan sempat memaklumkan kepada ibunya mengenai kejadian itu sebelum ditemui tidak sedarkan diri pagi tadi.
Tambah Fadil, pihaknya kini menahan suspek bagi melakukan siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan.