Remaja lembam lemas ketika mandi di Sungai Kombat

Bernama
Februari 10, 2023 12:55 MYT
Berdasarkan siasatan di tempat kejadian dan keterangan saksi, tidak terdapat unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- Gambar hiasan
GUA MUSANG: Kegembiraan sekumpulan remaja lelaki bertukar tragedi apabila seorang rakan mereka yang juga remaja Orang Kurang Upaya (OKU) lembam lemas, ketika mandi di Sungai Kombat, Felda Perasu di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata mangsa Muhammad Fakhrul Imam Zulkepli, 16, bersama rakan-rakannya telah ke lokasi kejadian pada 4.30 petang.
"Kejadian berlaku apabila mangsa bersama rakannya Amir telah dihanyutkan ke tempat yang lebih dalam.
"Dua rakan lain berjaya menarik Amir naik ke tebing namun percubaan menyelamatkan mangsa menggunakan sebatang kayu tidak berjaya kerana kayu tersebut patah sebelum Muhammad Fakhrul tenggelam," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sik berkata mangsa kemudiaan ditemukan timbul, namun tidak sedarkan diri.
"Mangsa diberi bantuan awal pernafasan (CPR) oleh rakan-rakannya tetapi gagal. Mangsa kemudian telah dikejarkan ke Klinik Peras dan telah disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal akibat lemas," katanya.
Sik berkata berdasarkan siasatan di tempat kejadian dan keterangan saksi, tidak terdapat unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
-- BERNAMA
#remaja lembam #lemas #Sungai Kombat #Gua Musang
;