Remaja lemas, tergelincir di kawasan Air Terjun Pecah Batu

Abd Razak Mohd Ali
Julai 3, 2022 15:57 MYT
Remaja berusia 16 tahun itu dikatakan terjatuh ke dalam lubuk sedalam kira-kira tiga meter (10 kaki). - Foto JBPM
TAIPING: Seorang remaja lelaki lemas selepas dipercayai tergelincir di kawasan perkelahan Air Terjun Pecah Batu, Trong, dekat sini, hari ini.
Remaja berusia 16 tahun itu dikatakan terjatuh ke dalam lubuk sedalam kira-kira tiga meter (10 kaki).
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 11.49 pagi.
“Mangsa dipercayai sedang melakukan aktiviti mandi-manda di kawasan berkenaan bersama rakan-rakan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba menggunakan ‘gripping iron’ untuk menarik mangsa dari dasar dan melakukan teknik bantuan pernafasan (CPR) untuk menyelamatkan mangsa.
Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Rafeel Hairul Richard tamat jam 1.57 petang.
#remaja lemas #Air Terjun Pecah Batu #Taiping #bomba
;