Remaja lemas ketika mandi bersama rakan di perkampungan Orang Asli
Bernama
Julai 9, 2023 21:27 MYT
Julai 9, 2023 21:27 MYT
IPOH: Seorang remaja lelaki ditemukan lemas ketika bermandi-manda bersama tiga rakannya di Kampung Orang Asli, Sungai Tanggang, Ulu Kinta dekat sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 5 petang.
"Pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan tugas mencari dan menyelamat.
"Bagaimanapun mangsa, K. Santosh, 18, yang dipercayai lemas berjaya dijumpai oleh penduduk orang Asli dari kampung berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, petugas Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 7 malam," katanya.
-- BERNAMA