Remaja lemas ketika mandi bersama rakan di Air Terjun Pecah Batu
Bernama
Ogos 31, 2024 21:40 MYT
Ogos 31, 2024 21:40 MYT
IPOH: Kegembiraan sekumpulan remaja mandi-manda di Air Terjun Pecah Batu, di Trong, berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata dalam kejadian itu, mangsa Muhammad Aqif Mikhail Ali Arafat, 15, dikatakan mandi di sungai berkenaan bersama beberapa rakannya.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.25 petang dan sampai ke lokasi kejadian lima minit kemudian dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Trong bersama satu jentera.
"Mangsa telah dibawa naik ke darat oleh orang awam sebelum anggota penyelamat tiba di lokasi kejadian dan sejurus tiba, pihak bomba telah melakukan bantuan asas hayat melalui kaedah resusitasi kardiopulmonari (CPR) namun tiada tindak balas," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Sabarodzi berkata mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata operasi ditamatkan pada 6.40 petang.
-- BERNAMA