Remaja lemas dibawa arus ketika mandi di Sungai Sedim
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 2, 2022 19:33 MYT
Ogos 2, 2022 19:33 MYT
KULIM: Keseronokan tiga sahabat bermandi-manda di air terjun Sungai Sedim, di sini, bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas, hari ini.
Kerua Polis Daerah Kulim, Superitendan Mohd Redzuan Salleh berkata, mangsa tiba bersama dua lagi rakannya di kawasan itu sekitar pukul 12 tengah hari.
“Ketika sedang mandi bersama rakannya mangsa tiba-tiba dibawa arus deras lalu hilang. Rakan mangsa cuba meminta bantuan orang awam yang berada di situ,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Mohd Redzuan berkata, mayat mangsa dijumpai oleh penduduk kampung dalam keadaan terapung di permukaan air pada jarak 1 kilometer dari tempat mangsa mandi.
Mayat mangsa kemudian di bawa ke atas tebing dan rakan mangsa bertindak menghubungi polis.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Hakimi Aiman Mohd Shahrin, 18, dan Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.