Remaja lemas di Paya Biru dekat Kota Tinggi
Bernama
Ogos 2, 2020 23:02 MYT
Ogos 2, 2020 23:02 MYT
Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun lemas di kawasan rekreasi Tasik Paya Biru di Felda Lok Heng Selatan dekat Kota Tinggi, tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Hussin Zamora berkata sebelum itu, Muhammad Akmal Hakim Abdul Karim dikatakan pergi ke kawasan itu untuk mandi bersama lima lagi rakannya sebelum dilaporkan hilang pada kira-kira 12 tengah hari.
"Ikut kata rakannya, mangsa terjun dulu ke dalam tasik berkenaan dan terus tidak timbul selepas itu. Rakan-rakannya cuba mencari tetapi gagal," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata polis yang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam bergegas ke lokasi kejadian bersama sepasukan bomba untuk menjalankan operasi menyelamat.
"Mangsa ditemukan bomba pada 12.53 tengah hari tetapi didapati tersangkut pada rumpai yang berada dalam tasik iaitu pada kedalaman 2.4 meter (lapan kaki).
"Jarak antara lokasi mangsa terjun dengan lokasi penemuan pula lebih kurang empat meter," katanya.
Hussin berkata mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Lok Heng dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
Beliau berkata orang ramai sepatutnya tidak berkunjung atau mandi di tasik itu kerana ia telah ditutup sejak tahun 2018 setelah berlaku kejadian lemas di situ sebelum ini.